Wednesday 25 December 2013

Putrajaya - Bandar Pintar Dalam Taman


Putrajaya, ‘Sebuah bandar pintar dalam taman’ terletak 25 kilometer selatan bandaraya Kuala Lumpur. Ia merupakan satu bandar futuristik (bandar masa hadapan) yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Berbanding Kuala Lumpur sebuah bandar tinggalan zaman kolonial, Putrajaya dibangunkan mengikut inspirasi dan citarasa budaya tempatan oleh rakyat tempatan sendiri. Kerja-kerja pembinaan bermula 16 hb April 1995 dan dilengkapi dengan aplikasi Teknologi Maklumat terkini.
Putrajaya adalah merupakan sebuah bandar yang dikenali melalui senibina bangunannya dan lanskap yang indah dan merangkumi kawasan seluas 4,391 hektar. Pembinaannya menelan belanja sebanyak RM20.5 bilion. Dengan terbinanya Putrajaya kini Kuala Lumpur lebih dikenali sebagai pusat komersil dan kewangan negara.
Putrajaya terbahagi kepada dua kawasan iaitu Kawasan Teras dan Kawasan Pinggir. Kawasan Teras yang paling utama merangkumi kawasan seluas 1069 hektar dan dibahagikan kepada lima Presint iaitu Presint Kerajaan, Presint Komersil, Presint Sivik dan Kebudayaan, Presint Pembangunan Campuran dan Presint Rekreasi dan Sukan. Kesemua presint dalam Kawasan Teras ini dihubungkan dengan satu jalan utama sepanjang 4.2 kilometer dan menjadikan ia kawasan utama bagi acara-acara sambutan peringkat kebangsaan, festival dan kebudayaan.
Kawasan Pinggir pula dipecah kepada 15 bahagian dengan saiz yang berbeza. 12 daripadanya membentuk kawasan kediaman manakala 3 lagi sebagai kawasan lapang dan rekreasi. Rekabentuk kawasan kediamannya juga dirancang berlandaskan satu identiti sebagai pusat tumpuan dengan lanskap yang sesuai dan persekitaran alam semulajadi yang kondusif. Sehingga kini sebanyak 67,000 unit rumah telah dibina dengan pelbagai saiz, rekabentuk dan densiti setempat bagi semua sektor pemilikan.
Perancangan sektor Putrajaya dibangunkan dengan memenuhi kriteria berikut :
1.       Bandar Pintar
2.       Bandar Dalam Taman
3.       Pusat Pentadbiran Negara
4.       Sebuah Bandar yang dikawal dan dijaga fizikalnya
5.       Sebuah Bandar dengan persekitaran hidup yang berkualiti tinggi
6.       Sebuah Bandar yang mengutamakan pengangkutan awam
Konsep Bandar Dalam Taman merupakan sebuah bandar yang memulihara ekosistem melalui perancangan lanskapnya sambil mempromosikan kehidupan yang aktif.
Bandar Pintar pula adalah selari dengan projek Koridor Raya Multimedia sebuah kawasan seluas 15km x 50km yang menempatkan syarikat-syarikat multimedia bertaraf dunia dan menghasilkan produk beteknologi tinggi sama seperti versi Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Rangkaian gentian optik menghubungkan Pusat Bandar Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, Cyberjaya dan Putrajaya, menjadikan ia pusat bagi zon ini.
Apa yang menarik dalam pembanguan Putrajaya, sebarang bangunan yang didirikan mestilah memenuhi garispanduan yang telah ditetapkan iaitu :
1.       Garispanduan rekabentuk Bandar
2.       Garispanduan pengurusan ‘stormwater’
3.       Garispanduan rekabentuk pengangkutan
4.       Garispanduan pengurusan alam sekitar
5.       Garispanduan sistem saliran
6.       Garispanduan rekabentuk iklan dan papantanda
7.       Garispanduan pengurusan tasik
Manakala untuk Presint Kerajaan,sepuluh  konsep rekabentuk sivik juga telah diambil kira iaitu :
1.       Organisasi dan orientasi
2.       Kawasan lapang dan tanah
3.       Sirkulasi kenderaan
4.       Tempat letak kenderaan
5.       Permulaan alamat dan perkhidmatan
6.       Pengangkutan awam
7.       Ketinggian bangunan
8.       Utiliti
9.       Mercutanda dan kawasan-kawasan menarik
10.   Fasa pembangunan
Dari segi senibinanya jelas sekali bangunan di sini dikawal dari segi rupa luarannya agar mengikut ‘standard’ yang telah ditetapkan. Kebanyakannya diserlahkan dengan senibina moden contohnya bangunan Kementerian Kewangan disamping unsur-unsur senibina Timur Tengah sebagaimana dilihat pada kubah bangunan Jabatan Perdana Menteri dan Istana Kehakiman.
Kawasan perumahan yang dipecahkan sebagai kawasan pinggir diletak secara rawak dan mempunyai susunan berpusat bagi setiap kawasan perumahan. Setiap penempatan disediakan kemudahan-kemudahan Pasar Awam, Bank, Medan Selera dan Gera-gerai makanan. Di tengah-tengah kawasan perumahan disediakan juga taman permainan kanak-kanak dan pondok-pondok riadah.
Kesimpulannya, pembangunan Putrajaya telah mencapai objektif dalam idea pembinaannya yang berkonsepkan sebuah Bandar Dalam Taman. Dengan sistem perancangan yang betul ia telah cuba memulihara kawasan hijaunya berserta struktur dan kontur tanah sebagaimana dapat dilihat pada bangunan Wisma Putra yang dibina di atas bukit di Presint 18. Bentuk asal bukit dikekalkan dan hanya bangunan dan jalan akses sahaja dibina.

Begitu juga tema pada taman-taman awamnya yang lebih bercorak taman hijau seperti Taman Warisan Pertanian dan beberapa taman lain di sekitar tasik. Tumbuhan hijau dan bunga-bungaan juga turut ditanam di sepanjang jalan sebagai laluan teduh serta mengimbangi alam sekitar dan pembangunan. Putrajaya telah menjadi lambang keunggulan pembangunan negara dan kebanggaan rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment