Monday, 30 December 2013

Porta De Santiago (A Famosa)-Melaka,kota bekas jajahan Portugis

Porta De Santiago atau juga dikenali sebagai Kota A Famosa telah dibina oleh Portugis pada tahun 1511 semasa Portugis berjaya mengalahkan dan menawan Melaka,sebuah pelabuhan yang sangat terkenal di seluruh dunia pada waktu itu.Bentuk asal kota ini adalah berbentuk segienam dengan sebuah menara didirikan pada setiap segi untuk mengawal keselamatan. Kota ini dibina di atas Bukit St Paul. A Famosa bermaksud 'Yang Mashur'.
Tujuan kota ini dibina adalah untuk pertahanan daripada serangan daripada Sultan Melaka yang telah lari ke Johor dan juga tentera Aceh daripada Sumatera. Kesemua serangan dapat dipatahkan namun pada tahun 1641 tentera Belanda telah dapat menawan Melaka dan kota ini dengan bantuan Johor. Tentera Belanda mengambil masa selama lapan bulan sebelum berjaya. Ini kerana kota ini sangat kukuh dan sukar menembusi batu batan yang membinanya.
Pada tahun 1670, Belanda telah membaiki kota ini dan melakar huruf VOC (Verenigde Oostindische Compagnie) sebagai lambang Syarikat Hindia Timur Belanda.
Pada tahun 1795, British telah menawan kota ini dan pada tahun 1800 British telah merobohkan  struktur kota ini sebelum sempat dihentikan perobohannya oleh Sir Thomas Stamford Raffles. Namun begitu hanya bahagian hadapan kota ini sahaja yang terselamat dan boleh dilihat hingga kini. Walaupun Belanda telah menawan kembali kota ini pada tahun 1818, namun ianya tidak dibaik pulih. Selang enam tahun iaitu pada tahun 1824, British kembali semula mengambil alih kota ini daripada Belanda secara rundingan. Kota ini menjadi sebahagian daripada jajahan British di Tanah Melayu sehinggalah tahun 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan.

Kini Kota A Famosa atau Porta De Santiago menjadi salah satu lokasi bersejarah yang mesti dilawati di Malaysia.

No comments:

Post a Comment