Monday, 30 December 2013

Menara Jam Condong Teluk Intan(Anson)-Perak,Menara Condong Ke-2 Di Dunia

Teluk Intan atau nama asalnya Teluk Anson mungkin tidak lebih dari sebuah pekan kecil sama seperti pekan-pekan kecil di tempat-tempat lain sekiranya tidak wujud sebuah menara jam yang condong seperti Menara Pisa yang terkenal di Itali.
Dengan ketinggian setinggi 25.5 meter di tengah-tengah pekan Teluk Intan, ianya amat mudah dikunjungi kerana ketinggiannya yang mudah dilihat dari jauh. Menara ini seperti Menara Pisa mencondong ke arah kiri dan kini menjadi kebanggaan masyarakat di sini. Menara ini menjadi condong disebabkan oleh kesan hakisan pada struktur asas pembinaannya telah berlaku semasa musim tengkujuh dan banjir besar yang melanda Perak pada tahun 1889-1895.
Kecantikan dan keunikan bangunan ini dapat dilihat daripada struktur bangunan yang direka dengan rekabentuk sebuah pagoda. Walaupun dari luar kelihatan seperti terdapat 8 tingkat bangunan namun hakikatnya hanya 3 tingkat bangunan sahaja di sebelah dalam.
Menara ini telah dibina oleh seorang kontraktor Cina bernama Leong Choon Chong pada tahun 1885 yang pada asalnya digunakan sebagai tangki air untuk penduduk sekitar. Pada tahun 1980’an, selepas lebih 100 tahun, bangunan ini pernah digunakan sebagai pejabat Unit Perancang Keluarga. Namun kini ia tidak lagi digunakan untuk apa-apa tujuan, hanya sebagai tapak lawatan bersejarah di pekan ini. Menara ini juga menempatkan sebuah jam besar sebagaikegunaan masyarakat setempat waktu itu.

Keunikan dan nilai sejarah pada menara ini telah menggamit ramai pelancong dalam dan luar negara ke sini. Oleh itu ianya mestilah sentiasa dipelihara agar berada dalam keadaan selamat dan menarik untuk dikunjungi.

No comments:

Post a Comment