Monday, 30 December 2013

Pulau Pinang-Fort Cornwallis,kota bekas jajahan Brirish

Fort Cornwallis sebuah kota peninggalan British terletak di hujung tanjung di Banadaraya Georgetown,Pulau Pinang. Kini kota ini diselenggara oleh pihak swasta sebagai salah satu monumen bersejarah di Bandaraya Georgetown dan menganjurkan acara-acara kebudayaan dengan mengenakan bayaran tiket untuk masuk melawat kota ini.
Kota ini dibina semasa Kapten Francis Light mula-mula datang ke Pulau Pinang pada tahun 1786. Diceritakan pada masa itu tapak kota ini dipenuhi hutan pokok bertam yang tebal dan untuk membersihkan kawasan ini Kapten Francis Light mengarahkan tembakan meriam berisi wang ke dalam kawasan ini. Dengan ini orang tempatan dan pekerja asing berebut-rebut untuk mendapatkan wang tersebut sebanyak mungkin dengan cara menebang dan membersih kawasan ini. Setelah itu barulah kota ini dibina. Pada asalnya kota ini dibina daripada kayu sahaja,namun pada tahun 1804 ia diganti dengan struktur batu bata dan konkrit menggunakan buruh daripada penjara. Struktur tersebut masih kukuh hingga sekarang.


Kota ini dibina untuk mempertahankan sebarang serangan daripada musuh luar khususnya dari Siam pada waktu itu. Namun begitu kota tidak pernah sekalipun diserang atau terlibat dalam peperangan. Kerana itulah kota ini masih terus kukuh hingga sekarang. Di atas kota ini ditempatkan sebuah meriam yang mempunyai lagenda dan sejarahnya tersendiri. Meriam itu kepunyaan tentera Belanda dan diberi nama Seri Rambai. Meriam itu masih boleh dilihat hingga sekarang. Meriam ini adalah hadiah daripada Belanda kepada Sultan Johor pada tahun 1606 tetapi telah diambil oleh orang Aceh sewaktu menyerang Johor. Pada awal abad ke 19, meriam ini telah dikembalikan ke Kuala Selangor sebagai tanda persahabatan dengan orang Bugis. Pada tahun 1871 semasa British menawan Kuala Selangor, meriam ini telah dipindahkan ke Pulau Pinang hingga kini. Mengikut sesetengah kepercayaan, bagi orang perempuan yang sudah berkahwin tetapi masih belum memperoleh anak bolehlah duduk di atas meriam ini dengan harapan boleh mengandung selepas itu.

Kota Cornwallis adalah satu tempat bersejarah yang wajib dilawati oleh pelancong yang datang ke Pulau Pinang. Lokasinya yang terletak di tepi pantai menjadikan ia lebih menarik berserta padang luas yang dipanggil Padang Kota. Pelancong juga boleh menjamu selera dengan pelbagai makanan tempatan di gerai-gerai yang terdapat bersebelahan dengan kota ini. Jemput mai ke Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment