Homestay adalah satu produk pelancongan di mana
pelancong-pelancong dapat tinggal dalam sebuah rumah tradisional kampung
bersama dengan keluarga orang tempatan di situ serta dapat mempelajari cara
hidup,kegiatan harian mereka,budaya dan juga menikmati masakan tempatan. Rumah
yang didiami itu kebiasaannya adalah rumah kayu bertiang yang terletak di
antara sawah padi atau kebun buah-buahan dan dikelilingi dengan tanaman pokok
bunga.Keperluan asas seperti tandas yang bersih dan bilik mandi disediakan.
Setiap homestay menawarkan sesuatu yang unik kepada
pelancong dan menganjurkan aktiviti mereka tersendiri seperti permainan
tradisional,meneroka hutan atau bukit,memancing,menorah getah,memetik
buah-buahan dan juga membuat anyaman serta kraftangan.
Pengendali sesuatu program homestay mestilah berdaftar
dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Antara objektif utama program ini diperkenalkan adalah untuk
memberi peluang kepada masyarakat luar bandar khususnya terlibat sama dalam
mempromosi sector pelancongan di negara ini. Selain turut serta, program ini
dapat menjana pendapatan yang lumayan kepada keluarga yang terlibat malah
kepada seluruh masyarakat sekeliling.Jualan hasil kraftangan dan lain-lain
perkhidmatan serta aktiviti dapat melibatkan masyarakat dan memberi peluang
pekerjaan. Secara tidak langsung ini akan menaikkan taraf hidup mereka. Malah
program ini juga mampu menghasilkan usahawan dalam bidang pelancongan yang
berjaya.
Pelancong yang datang juga mempunyai latar belakang
sosio-budaya yang berbeza. Kepada masyarakat tempatan ini adalah peluang untuk
menonjolkan budaya timur yang unik dan halus. Tidak ketinggalan masyarakat
tempatan juga boleh belajar dan bertukar-tukar budaya yang baik dengan
pelancong yang menyertai program homestay ini.
Buat masa ini sebanyak 139 operator program homestay dengan
jumlah sebanyak 3006 buah rumah telah berdaftar dengan pihak kementerian.
Pndapatan yang telah dijana setakat tahun 2012 adalah sebanyak RM10.9 juta dan
jumlah pelancong yang telah menyertai program ini seramai 196,472 orang.
Kebanyakan pelancong adalah dari negara Singapura,Korea,Jepun,Australia dan
Eropah.
Program homestay juga telah mengorak langkah dengan
melancarkan program PAT(Plant A Tree) iaitu pelancong yang datang akan menanam
sebatang pokok sebagai tanda ingatan dengan harapan satu masa nanti setelah
beberapa tahun pelancong itu akan berkunjung semula untuk melihat pokok yang
ditanam.
Seterusnya program homestay juga telah menjalin kerjasama
dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad dengan menganjurkan Malaysia Homestay
Railway Tourism yang julung-julung kali pernah diadakan melibatkan sebanyak 21
operator homestay dan 22 buah stesen keretapi di seluruh semenanjung. Program
ini telah dilancarkan di Tanjung Pagar, Singapura pada 1 Oktober 2010 dan kini
telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Kesimpulannya, program Homestay adalah satu program unik
yang boleh diketengahkan dalam industry pelancongan negara. Ia mampu menjana
pendapatan dan yukaran wang asing yang lumayan dan boleh dikongsi dan dinikmati
bersama oleh masyarakat luar bandar.