Kemampuan Malaysia boleh diukur dengan melihat kepada tiga
aspek utama iaitu politik,ekonomi dan sosio-budaya. Kestabilan ketiga-tiga
aspek ini akan memberi peluang yang cerah kepada Malaysia untuk menjadi pilihan
destinasi pendidikan.
Dari segi politik, kestabilan yang dinikmati sejak Merdeka
menjadikan negara ini antara negara yang paling selamat untuk didiami dan
dilawati. Walaupun kadangkala terdapat kacau bilau dan himpunan haram di ibu
negara dan beberapa tempat lain namun ianya lebih bersifat setempat dan tidak
mendatangkan mudarat yang besar selain kesesakan lalulintas yang teruk. Namun begitu
sebagai negara yang mengamalkan demokrasi
berparlimen,kita seharusnya faham bahawa prinsip tersebut mestilah
ditaati dan keharmonian negara mestilah diutamakan. Jika tidak kestabilan
politik negara akan terganggu dan menjadikan ia satu halangan sebagai pilihan
destinasi pendidikan.
Ekonomi negara adalah antara yang terbaik dan mapan jika
dibandingkan dengan beberapa negara Asia Tenggara yang lain kecuali Singapura.
Namun dengan keluasan Malaysia yang lebih besar dan sikap yang lebih toleransi
boleh menjadikan negara ini pilihan yang lebih baik dari Singapura.
Sosio-budaya Malaysia amat unik sekali dan sentiasa menjadi
daya tarikan orang dari luar. Dengan lebih 150 etnik di negara ini, Malaysia
boleh berbangga dengan keharmonian dan persefahaman yang telah ditunjukkan
sejak zaman datuk nenek moyang dahulu
lagi hinggalah ke hari ini. Ini ditambah dengan sikap ramah mesra rakyat
Malaysia kepada siapa sahaja tetamu yang datang ke negara ini.
Oleh itu tidak mustahil Malaysia akan menjadi salah satu
destinasi terpenting bagi tujuan pendidikan.